Wednesday, October 11, 2017

Akta 757: Tunggakan Wang Penyenggaraan & Sinking Fund

Akta 757: Tunggakan Wang Penyenggaraan & Sinking Fund


AKTA 757

Mendapatkan jumlah wang sebagai hutang yang kena dibayar kepada badan pengurusan bersama

33. (1) Pembayaran apa-apa jumlah wang yang ditanggung dengan sah oleh badan pengurusan bersama dalam penjalanan mana-mana kuasanya atau fungsinya atau menjalankan kewajipan atau obligasinya hendaklah menurut kuasa seksyen ini dijamin oleh pemunya petak yang pada masa itu membentuk badan pengurusan bersama itu.

(2) Setiap pemunya petak hendaklah bertanggungan di bawah jaminan yang disebut di bawah subseksyen (1) hanya bagi apaapa kadar wang yang dibayar sedemikian sebagai unit syer yang diumpukkan bagi petaknya yang dibandingkan dengan unit syer agregat.

(3) Jika mana-mana pemunya petak belum melepaskan atau melepaskan dengan sepenuhnya liabilitinya bagi maksud subseksyen (1), badan pengurusan bersama adalah berhak untuk mendapatkan daripada pemunya petak itu dalam mahkamah yang mempunyai bidang kuasa berwibawa atau di hadapan Tribunal sebagai hutang yang kena dibayar kepadanya.

(4) Jika atas sebab ketidakcukupan dana untuk memenuhi jumlah wang yang dijamin di bawah subseksyen (1), badan pengurusan bersama boleh, pada mesyuarat agung tahunan atau pada mesyuarat agung luar biasa, menentukan jumlah yang hendaklah dicarumkan oleh setiap pemunya petak dan memutuskan apa-apa isu atau perkara lain yang berhubungan dengan penyelesaian bagi jumlah wang itu.

Tatacara mendapatkan jumlah wang yang kena dibayar

34. (1) Jika suatu jumlah wang menjadi boleh didapatkan oleh pemaju daripada pembeli berkenaan dengan petaknya menurut kuasa subseksyen 12(5), atau oleh badan pengurusan bersama daripada pemunya petak berkenaan dengan petaknya menurut kuasa subseksyen 25(6) atau 33(3), pemaju atau badan pengurusan bersama itu boleh menyampaikan kepada pembeli atau pemunya petak, mengikut mana-mana yang berkenaan, suatu notis bertulis yang menuntut pembayaran jumlah wang itu yang kena dibayar dalam tempoh yang dinyatakan dalam notis itu yang tidak boleh kurang daripada empat belas hari dari tarikh penyampaian notis itu.

(2) Jika mana-mana jumlah wang masih tidak dibayar oleh pembeli atau pemunya petak pada akhir tempoh yang dinyatakan dalam notis di bawah subseksyen (1), pemaju atau badan pengurusan bersama, mengikut mana-mana yang berkenaan, boleh memfailkan suatu saman atau tuntutan dalam suatu mahkamah yang mempunyai bidang kuasa berwibawa atau di hadapan Tribunal untuk mendapatkan jumlah wang itu atau sebagai alternatif kepada mendapatkan wang di bawah seksyen ini, menggunakan cara mendapatkan wang di bawah seksyen 35.

(3) Mana-mana pembeli atau pemunya petak yang, tanpa alasan yang munasabah, tidak mematuhi notis yang disebut dalam subseksyen (1) melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, dan dalam hal suatu kesalahan berterusan, didenda selanjutnya tidak melebihi lima puluh ringgit bagi tiap-tiap hari atau sebahagiannya kesalahan itu berterusan selepas disabitkan. 

Mendapatkan jumlah wang melalui penahanan harta alih

35. (1) Pesuruhjaya boleh, apabila permohonan bersumpah secara bertulis dibuat oleh pemaju atau mana-mana anggota jawatankuasa pengurusan bersama, mengeluarkan suatu waran penahanan dalam

Borang A Jadual Ketiga yang memberi kuasa bagi penahanan apa-apa harta alih yang dipunyai oleh pemunya petak yang ingkar yang boleh dijumpai di dalam bangunan atau di tempat lain di dalam Negeri itu.

(2) Waran penahanan di bawah subseksyen (1) hendaklah dilaksanakan oleh pemaju atau seseorang anggota jawatankuasa pengurusan bersama atau oleh seseorang yang diambil bekerja secara khusus oleh pemaju atau badan pengurusan bersama untuk melaksanakan waran sedemikian, di hadapan Pesuruhajaya atau seorang pegawai daripada pejabat Pesuruhjaya.

(3) Jika pemaju atau anggota jawatankuasa pengurusan bersama atau orang yang disebut dalam subseksyen (2) menghadapi kesukaran dalam melaksanakan waran itu, pemaju, anggota atau orang itu boleh mendapatkan bantuan Pesuruhjaya, dan dalam memberikan bantuan itu, Pesuruhjaya boleh meminta bantuan pegawai polis yang berpangkat tidak rendah daripada Inspektor.

(4) Seseorang yang melaksanakan waran itu:

(a) boleh, pada waktu siang, masuk dengan cara kekerasan ke dalam mana-mana rumah atau bangunan atau mana-mana bahagian rumah atau bangunan itu bagi maksud melaksanakan waran itu; dan

(b) hendaklah, sebaik selepas penahanan itu, membuat suatu inventori bagi harta yang ditahan di bawah waran itu dan menyampaikan suatu notis dalam Borang B Jadual Ketiga kepada orang yang, pada masa penahanan itu, memiliki atau didapati memiliki harta itu.

(5) Mana-mana penyewa, penyewa kecil atau penghuni yang, untuk mengelakkan penahanan atau penjualan harta alih kerana apa-apa jumlah wang yang kena dibayar kepada pemaju atau badan pengurusan bersama tidak dibayar oleh pemunya petak, membayar jumlah wang itu boleh:

(a) jika tiada apa-apa perjanjian bertulis yang berlawanan, menolak jumlah yang telah dibayar sedemikian olehnya daripada sewa yang kena dibayar atau menjadi kena dibayar olehnya kepada pemunya petak itu; dan

(b) memegang milikan harta itu sehingga jumlah yang telah dibayar sedemikian olehnya dibayar balik sepenuhnya kepadanya sama ada dengan cara penolakan daripada sewa atau selainnya.

(6) Resit yang dikeluarkan oleh pemaju atau badan pengurusan bersama bagi apa-apa jumlah yang dibayar sedemikian oleh mana-mana penyewa, penyewa kecil atau penghuni itu di bawah subseksyen (5) hendaklah disifatkan sebagai pelepasan penuh bagi jumlah yang sama dengan sewa itu.

(7) Jika mana-mana orang yang hartanya ditahan mempertikaikan kesahan penahanan itu, dia boleh, dalam masa empat belas hari dari tarikh penahanan itu, memohon kepada Mahkamah Majistret yang mempunyai bidang kuasa di tempat penahanan itu bagi suatu perintah bagi pelepasan harta itu, dan Mahkamah Majistret, selepas membuat apa-apa siasatan yang perlu, hendaklah membenarkan atau enggan membenarkan perintah itu.

(8) Jika jumlah wang yang kena dibayar itu tidak dibayar dalam masa empat belas hari dari tarikh penahanan itu, harta yang ditahan itu atau mana-mana bahagian harta yang ditahan itu yang mencukupi untuk menghasilkan jumlah wang itu hendaklah dijual

Pengurusan Strata 63secara lelong yang dijalankan oleh pemaju atau badan pengurusan bersama di bawah penyeliaan Pesuruhjaya melainkan jika dalam tempoh itu suatu permohonan dibuat di bawah subseksyen (7), yang dalam hal itu, harta itu hendaklah dipegang sementara menunggu keputusan Mahkamah Majistret dan hendaklah kemudiannya diuruskan sebagaimana yang diperintahkan oleh Mahkamah Majistret.

(9) Jika Mahkamah Majistret enggan membenarkan suatu perintah untuk pelepasan harta itu, dan keputusan Mahkamah Majistret itu dicapai dalam masa empat belas hari dari tarikh penahanan, harta itu tidak boleh dijual sebelum habisnya tempoh itu.

(10) Walau apa pun subseksyen (8) dan (9), jika harta itu adalah jenis mudah musnah, ia boleh dijual dengan segera, dan dalam hal itu, hasil jualan hendaklah dipegang sementara menunggu keputusan Mahkamah Majistret dan hendaklah kemudiannya diuruskan sebagaimana yang diperintahkan oleh Mahkamah Majistret.

(11) Dalam mana-mana hal lain, hasil jualan hendaklah digunakan untuk menjelaskan jumlah wang yang kena dibayar bersama-sama dengan kos penahanan dan penjualan itu, dan apa apa lebihan dan apa-apa harta yang tidak dijual hendaklah dibayar atau dikembalikan kepada orang yang, pada masa penahanan itu, memiliki atau didapati memiliki harta itu.

(12) Kos penahanan hendaklah termasuk perbelanjaan penyenggaraan ternakan dan penjagaan harta alih.


(13) Jika apa-apa harta dijual menurut kuasa subseksyen (10) sebelum habis tempoh empat belas hari dari tarikh penahanan, sebutan dalam subseksyen (7) mengenai suatu “perintah bagi pelepasan harta itu” hendaklah ditafsirkan sebagai suatu sebutan mengenai suatu perintah bagi pelepasan hasil jualan harta itu.

No comments:

Post a Comment